MAKAN MUNTAH, BAU MAKANAN TAK BOLEH. JIKA ALAHAN TERLALU TERUK, AMALKAN TIP INI

Biasanya trimester pertama kehamilan bagi sesetengah ibu memang mencabar. Ada yang langsung tak boleh makan atau minum, bau makanan, tak boleh buat kerja berat dan macam-macam lagi.

Alahan ini jika tak diatasi boleh menyebabkan ibu hamil tak bermaya dan langsung tak boleh nak buat apa-apa kerja.

Lagi teruk ada yang terpaksa ambil cuti tanpa gaji atau berhenti kerja terus kerana tak mampu nak hadap setelah dapat nasihat dari doktor. Kalau untuk 3 bulan pertama sahaja tak ada masalah, tapi risaunya ada yang perlu hadap hingga ke akhir tempoh kehamilan.

Bagi ibu yang nak atasi alahan ini semoga tak menganggu rutin harian, amalkan tip ini:

  1. Tidak tergesa-gesa ketika bangun dari tidur, sebaliknya baring dahulu beberapa minit. Relakskan diri anda dan berikan badan anda masa untuk bersedia menghadapi hari baru. Bangun perlahan-lahan dan duduk seketika sebelum berdiri.
  2. Simpan snek ringan seperti biskut tawar di sebelah katil dan makan sejurus bangun dari katil. Ini akan membantu menyerap asid perut.
  3. Elakkan minum air semasa perut kosong ketika bangun dari tidur. Minum air hanya setelah anda menjamah sedikit snek ringan. Minum air semasa perut kosong boleh mencetuskan rasa loya/muntah.
  4. Makan sedikit tetapi kerap iaitu diantara 6-8 kali sehari (termasuk makanan berat, makanan ringan, buah-buahan dan sayuran). Cuba makan setiap 2-3 jam untuk memastikan perut anda tidak kosong.
  5. Elakkan berbaring selepas makan (terutama mengiring di atas rusuk kiri) kerana ia melambatkan proses pencernaan.
  6. Jauhkan dari bau-bauan/makanan yang boleh merangsang rasa loya.
  7. Makan makanan yang telah suam/pada suhu bilik kerana makanan yang panas mempunyai aroma yang lebih kuat.
  8. Elakkan makanan yang berlemak, berempah, berasid atau bergoreng kerana ia sukar dihadam dan boleh mengganggu perut.
  9. Makan pisang diantara waktu makan boleh mengekalkan kadar gula dalam darah, mengurangkan rasa mual/muntah serta mengurangkan simptom pedih hulu hati.
  10. Makanan yang masam boleh mengurangkan rasa loya namun bagi yang mengalami masalah gastrik, boleh juga menggantikannya dengan halwa halia/gula-gula.
  11. Makan atau minum makanan/minuman berhalia untuk melegakan kembung perut. Walau bagaimanapun, halia perlu digunakan dalam kuantiti yang sederhana dan dengan berhati-hati kerana dos yang telalu tinggi boleh mencetus penghasilan jus gastrik.
  12. Ambil vitamin pranatal anda selepas makan atau sebelum tidur.
  13. Vitamin B6 (piridoksina) atau multivitamin kehamilan boleh mengurangkan mabuk kehamilan. Jika anda mengambil vitamin semasa kehamilan, anda mungkin kurang mengalami simptom yang teruk. Periksa dengan doktor anda sebelum mengambil sebarang makanan tambahan semasa kehamilan.
  14. Elakkan makan bersulam air kerana ia boleh menjejaskan proses penghadaman.
  15. Cuba minum diantara waktu makan terutamanya jika anda rasa sukar untuk minum tanpa muntah semula.
  16. Pastikan anda minum dengan kerap namun jangan minum terlalu banyak pada satu-satu masa sehingga boleh menyebabkan anda kenyang. Cuba hisap kiub ais/ais krim buah-buahan jika anda loya.
  17. Minum air kosong secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi serta jangkitan bakteria H.pylori. Anda juga disarankan minum minuman susu kultur yang mengandungi bacteria baik (Lactobacillus) atau makan yogurt untuk mengurangkan simptom morning sickness akibat bakteria ini
  18. Cuba terapi semulajadi. Aromaterapi (minyak limau nipis, lemon atau sitrus) atau rawatan alternatif homeopati boleh membantu anda tetapi jumpalah pengamal yang berpengalaman dalam merawat wanita hamil.
  19. Memakai gelang tangan acupressure atau mabuk laut. Ia boleh didapati di farmasi dan kedai makanan kesihatan dan boleh mengurangkan loya dan muntah bagi sesetengah wanita.
  20. Buat urutan refleksologi/tekanan acupressure pada titik yang berkaitan loya/muntah.
  21. Pakai pakaian yang longgar dan selesa. Ini disebabkan perubahan hormon wanita hamil menyebabkan badan berasa panas yang boleh mencetus perut anda mual. Dalam masa yang sama, elakkan pergi tempat yang hangat dan penuh sesak.
  22. Rehat yang secukupnya dan ambil masa rehat dari bekerja jika perlu. Tekanan dan keletihan boleh membuatkan mabuk kehamilan lebih teruk.
  23. Dapatkan khidmat doktor sekiranya keadaan anda bertambah teruk.

sumber: Klinik Dr Asmah

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*