Kedai ganja di Kanada terputus bekalan

OTTAWA: Kedai menjual ganja di sebahagian kawasan di Kanada berdepan kekurangan bekalan, dua hari selepas penggunaan ganja untuk tujuan rekreasi dibenarkan.

Kebanyakan pengguna bersemangat dengan penghapusan larangan itu, namun sebahagian lagi kecewa kerana tidak dapat membeli ganja pada hari pertama.

Harga yang agak tinggi dari $5.95 dolar Kanada (RM18.94) di Quebec hingga $18.99 (RM60.44) satu gram di Saskatchewan berbanding pasaran gelap yang menyaksikan harga purata tahun lalu turun kepada $6.79 (RM21.60) turut menjadi isu hangat.

Seorang pembeli, Alexandre, 30 berkata beliau diminta beredar pada jam 9 malam (waktu tempatan) selepas beratur selama tujuh jam di sebuah kedai di pusat bandar Montreal Rabu lalu.

“Cuaca amat sejuk, memang teruk. Tapi kami seronok bersembang dengan orang ramai dan turut berkongsi ganja.”

kata Alexandre yang kembali semula pada pagi Khamis.

Di Ontario, wilayah paling padat penduduk, 38,000 pesanan ganja bernilai kira-kira $750,000 (RM2.4 juta) diproses dalam masa beberapa jam Rabu lalu manakala di Quebec 42,000 pesanan diproses di kedai dan dalam talian.

“Jumlah pesanan ini jauh melebihi ramalan SQDC. Sukar untuk menjangkakan jumlah jualan kerana kekurangan data dari sektor yang sebelum ini dianggap terlarang,” kata peruncit ganja kerajaan Quebec itu.

Rabu lalu, Kanada menjadi ekonomi utama dunia pertama dan negara kedua membenarkan penggunaan ganja secara rekreasi.

Perdana Menteri Justin Trudeau mempertahankan langkah itu sebagai usaha melindungi golongan muda dan bertujuan menyekat kegiatan pengedaran dadah. – AFP

Sumber: BHOnline

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*