Bangunan Diinspirasikan Oleh Anai-Anai Ini Sejuk Dengan Sendirinya – Eastgate Center

Semua sedar bahawa Afrika adalah sebuah benua yang sangat panas cuacanya. Salah sebuah negara yang terletak di benua tersebut adalah Zimbabwe.

Di negara ini, terdapat sebuah bangunan yang mempunyai keupayaan untuk menyejukkan dalamannya sendiri tanpa menggunakan penghawa dingin. Walaupun kedengaran tidak masuk akal, namun itulah kenyataannya. Teruskan membaca untuk mengetahui lebih lanjut tentang bangunan ini.

Sumber Inspirasi Buat Arkitek Bernama Mick Pearce

Pada tahun 1991, seorang arkitek bernama Mick Pearce telah menemui jalan buntu. Sebuah kumpulan pelaburan di Harare, Zimbabwe telah mengupah beliau untuk membuat sebuah reka bentuk bangunan pejabat dan pusat beli belah yang paling besar di negara berkenaan.

Namun, syarikat tersebut meletakkan syarat bahawa bangunan tersebut harus mempunyai sistem pengudaraan semula jadi yang baik agar suhu di dalamnya sentiasa sejuk dengan sendirinya. Hal ini adalah kerana mereka enggan mengeluarkan kos tambahan untuk penghawa dingin bagi menyejukkan suhu di dalam bangunan yang besar seperti itu.

Hal ini menyebabkan Pearce terpaksa berfikir di luar kotak bagi menyelesaikan isu berkenaan. Bagaimana untuk mereka bentuk sebuah bangunan yang berupaya menyejukkan dalamannya dengan sendirinya? Inilah cabaran yang harus diselesaikan oleh Pearce.

Gambar di menunjukkan sebuah sarang anai-anai. Jutaan serangga ini hidup di dalam struktur tersebut, di mana ia boleh mencecah ketinggian maksima sehingga 12 kaki (3.66 meter).

Walaupun struktur pencakar langit anai-anai ini kelihatan kukuh dari segi luaran, ia sebenarnya agak lompong kerana mempunyai banyak lubang-lubang kecil pada permukaannya bagi membolehkan udara melepasinya secara bebas.

Ibarat paru-paru gergasi, struktur ini menyedut masuk dan keluar udara selari dengan naik dan turunnya suhu sepanjang hari. Sistem pengudaraan sarang anai-anai yang efisyen ini menjadi sumber inspirasi buat Pearce dalam mereka bentuk bangunan tersebut.

Pendekatan yang menggunakan konsep daripada kehidupan atau alam semulajadi bagi menyelesaikan masalah manusia ini dikenali sebagai biomimikri.

Mekanisme Rekaan Pearce Bagi Menyejukkan Bangunan

Seni bina ciptaan Pearce ini diberi nama Eastgate Center. Bangunan tersebut dibina daripada konkrit dan bata. Seperti tanah di dalam sarang anai-anai, kedua bahan ini mempunyai jisim haba yang tinggi, membolehkan haba diserap dengan banyak tanpa mengubah suhu sekeliling.

Bahagian luar bangunan ini pula ‘berduri’ seperti pokok kaktus, yakni ianya dilengkapi dengan struktur halus bagi meningkatkan keluasan kawasan permukaan, dalam kata lain, haba dibebaskan dengan lebih efisyen pada waktu malam, dan penyerapan haba pada waktu siang pula dikurangkan.

Eastgate Center juga dilengkapi dengan kipas berkuasa rendah pada ruang bawah tanahnya, bertujuan untuk menarik angin malam yang sejuk daripada luar dan disebarkan ke seluruh tujuh tingkat bangunan. Blok konkrit menyerap angin sejuk ini, menebat bangunan tersebut dan menyejukkan pengudaraan.

Pada siang hari ketika suhu mula meningkat, udara panas dipindahkan ke bahagian atas bangunan melalui syiling dan kemudiannya dibebaskan keluar. Terima kasih kepada reka bentuk inovatif ini, suhu dalam bangunan sentiasa berada pada tahap yang nyaman dan selesa.

Bukan itu sahaja, reka bentuk ini juga berjaya mengurangkan penggunaan tenaga elektrik sehingga 35 peratus lebih rendah berbanding lain-lain bangunan Zimbabwe (perbandingan berdasarkan saiz bangunan yang hampir sama).

Sejak mula dibuka kepada umum pada tahun 1996, seni bina Mick Pearce yang mempunyai 90 peratus sistem kawalan cuaca semulajadi ini berjaya menaikkan nama Eastgate Center sebagai sebuah mercu tanda dunia yang mampan (sustainable).

Kesimpulan

Kejayaan Mick Pearce ini seharusnya menjadi inspirasi kepada bukan sahaja arkitek, malah jurutera dan para pencipta di luar sana untuk menggunakan pendekatan biomimikri dalam menyelesaikan masalah kehidupan seharian manusia.

Video:

Pada pendapat anda, apakah inovasi lain yang boleh diinspirasikan daripada alam semulajadi di sekeliling kita ini?

Sumber: mediahangat.com

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*