Tips Fesyen Raya Terbaik Untuk Lelaki

Bila tiba Hari Raya, bukan wanita saja yang sibuk berdandan dan berfesyen agar tampil bergaya, lelaki juga apa kurangnya. Walaupun fesyen raya lelaki tidak punya banyak pilihan berbanding wanita, namun sudah pasti lelaki juga ingin tampil segak dan menawan di pagi raya. Yang pasti pemakaian baju melayu adalah wajib buat para lelaki. Namun, tidak semua berjaya mengayaakan pemakaian baju melayu dengan betul. Jangan risau! Ikuti tip-tip yang kami sediakan ini.

1. PILIH JENIS BAJU MELAYU

Tip pertama yang perlu anda ikuti adalah untuk mengenalpasti jenis baju melayu yang ingin anda pakai raya nanti. Ketahuilah, baju melayu datang dalam pelbagai jenis dan rupa. Namun antara yang popular adalah:

i) Baju Melayu Teluk Belanga

Baju Melayu Teluk Belanga (juga dinamakan Baju Melayu Johor) dikenali menerusi lehernya yang disulam ringkas di kelilingnya. Bahagian leher hanya dibelah pendek di hadapan dan ia cuma mempunyai satu butang. Biasanya samping dipakai di bawah baju bagi Baju Melayu Teluk Belanga.

ii) Baju Melayu Cekak Musang

Baju Melayu Cekak Musang pula mendapat namanya melalui kolar lehernya yang tinggi dan ‘mencekak’ tengkuk. Biasanya terdapat lima kancing pada Baju Melayu Cekak Musang; dua di bahagian leher, dan tiga di bawahnya. Baju melayu ini biasa dipakai di Brunei dan ianya juga sering diubah suai untuk mengikuti fesyen terkini dan kelihatan lebih moden. Baju melayu ini juga mempunyai 5 butir kancing.(Sumber: ellezada.com)

iii) Baju Melayu Moden

Terdapat beberapa ciri bagi baju melayu moden. Antaranya adalah baju melayu tanpa pesak yang direka supaya baju tersebut tidak kelihatan terlalu longgar dan besar, tetapi sebaliknya kemas dan segak. Malah, baju melayu moden ini tidak terhad pada 1 warna dan corak saja. Ada yang digabung bagi memberi nafas baru pada baju melayu sedia ada.

Oleh itu, pilihlah jenis baju melayu terlebih dahulu yang mengikut citarasa dan saiz badan anda. Anda tidak semestinya perlu berasal dari negeri tertentu, misalnya Johor (jika ingin memakai baju melayu Teluk Belanga) atau sebagainya. Pastikan ia selesa dan dipadankan dengan betul.

2. FABRIK

Pemilihan fabrik juga memainkan peranan penting. Memandangkan iklim Malaysia tiada menentu, dan kebanyakkanya panas, fabrik yang benar-benar sesuai menjamin pemakaian baju melayu anda agar lebih selesa. Malah, sekiranya silap pemilihan fabrik, membuatkan anda mudah berpeluh dan pasti mencacatkan keseluruhan penampilan anda. Yang pasti, ada tiga jenis fabrik yang boleh dipilih oleh anda iaitu:

i) Kain Sifon – Diperbuat daripada sutera mahupun kapas. Ia kebiasaanya nipis, jarang dan memerlukan lining. Tekstur kainnya lembut dan amat sesuai dipakai pada semua jenis tubuh.

ii) Kain Kapas – Kain benang kapas merupakan fabrik yang paling sesuai untuk dipakai memandangkan Malaysia adalah beriklim panas. Ia bersifat sedikit keras dan terbukti dalam penyerapan peluh namun mudah berkedut.

iii) Kain Satin – Fabriknya berkilau, licin dan sejuk. Tidak digalakkan untuk mereka yang berbadan gempal kerana sifat kilau satin itu memberikan efek besar kepada pemakainnya.

3. SAMPING

Tidak akan lengkap penggayaan baju melayu anda tanpa pemakaian samping yang bertindak seakan aksesori yang melengkapkan baju melayu anda. Namun, tahukah anda pemakaian samping ada cara dan tertibnya. Pemakaian kain samping juga turut menyatakan status seseorang. Status disini bukanlah darjat malah ianya menentukan status seseorang individu itu sudah berkahwin ataupun masih bujang.

Jadi ini adalah cara pemakaian samping yang betul:

i) Lelaki yang masih bujang / belum berkahwin – Dipakai di atas paras lutut.

ii) Lelaki yang sudah berkahwin – Dipakai di bawah paras lutut.
Yang pasti, anda boleh memilih jenis-jenis sampaing yang dirasakan sesuai seperti samping soket, tenun mahupun kain pelikat. Jenis-jenis ikatan samping yang wajar anda tahu.
i) Ikatan Pancung – Cara memakai kain samping yang menggunakan kain lepas. Kain dililitkan di pinggang dan sebelum sampai ke hujung kain, kain ini “dipancung”, iaitu kain disemat sambil membiarkan hujung kain terkulai ke bawah.
ii) Ikatan Kembung – Ini adalah cara memakai kain samping yang biasa dipakai oleh mempelai laki-laki dalam acara pernikahan adat Melayu. Kata “kembung” berasal dari kesan menggembung saat memakai ikatan ini. Kain sarung ditarik ke bahagian tengah atau tepi badan untuk kemudian diikat dan disimpul dalam berbagai macam cara agar melekat di pinggang.

Sumber: mediahangat.com

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*